Penerangan ringkas dan padat dari ahli forum – Shamil. Syukran
1. Jenayah Hudud
Definisi yang dapat dipetik dari penulisan mereka mengenai hudud ialah ; Hukum-hukum yang tertentu yang ditentukan oleh Allah sama ada melalui al-Quran atau Sunnah Nabi Muhammad s.a.w sebagai Hak Allah yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan-kesalahan yang tertentu yang digolongkan di dalam jenayah Hudud, iaitu tujuh jenis seperti yang diterangkan oleh al-Quran .
Al-Mawardy pula mendefinisikan Hudud sebagai Sekatan-sekatan atau deraan-deraan yang ditentukan oleh Tuhan sebagai balasan ( hukuman ) kerana melakukan perkara-perkara yang ditegah dan meninggalkan pekara-perkara yang diperintah, kerana tabiat semulajadi manusia yang dikuasai oleh nafsu yang melalaikan dari seksaan akhirat dengan semata-mata mengejar kelazatan dunia yang cepat . ( al-Mawardy, al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 221 )
Definisi yang moden dan agak tepat yng dibuat oleh Abdul Qadir Audah tentang jenayah, ialah ( jenayah-jenayah ) yang diseksa kerana melakukannya dengan seksaan Hudud . Hudud ialah seksaan-seksaan yang tertentu sebagai Hak Allah s.w.t. Maksud tertentu di sini ialah tidak ada seksaan minima atau maksima, hanya satu seksaan sahaja. Maksud Hak Allah ialah seksaan itu tidak boleh digugurkan ( dimaafkan ) sama ada oleh individu atau masyarakat. ( Abdul Qadir Audah, al-Tasyri c al-Jinaiy al-Islamiy, hlm. 78 ).
Di dalam seksaan itu sebagai Hak Allah kerana ia dikenakan ( dikuatkuasakan ) untuk kemaslahatan awam (masyarakat ), iaitu membanteras fasad dalam masyarakat dan menjamin kestabilan dan kesejahteraan kepada mereka. Tiap-tiap jarimah merosakkan masyarakat dan manfaat dari seksaan yang dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah kerana melakukan jenayah tersebut, adalah kembali kepada masyarakat, maka seksaan-seksaan yang dikenakan kerananya dianggap Hak Allah supaya terjamin tercapainya manfaat tersebut. Untuk memastikan supaya kemudharatan ( fasad ) terhindar, maka dianggap seksaan tersebut sebagai Hak Allah supaya tidak gugur seksaan tersebut oleh individu atau masyarakat bila saja disabitkan bersalah.
Jenayah Hudud ada tujuh jenis :
- Zina
- Tuduhan Zina ( Qazaf ) tanpa empat saksi
- Minum Arak
- Mencuri
- Hirabah ( Perusuh / ganggu keamanan )
- Murtad
- Baghy (Bughah – Pemberontakan)
Telah disebut bahawa pengharaman bagi tiap-tiap jenayah Hudud dan Qisas dan seksaan-seksaan yang dikenakan keatasnya adalah bersumberkan al-Quran dan l-Sunnah.
Pengharaman Zina, firman Allah yang bermaksud :
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk .
( al-Quran, al-Isra : 32 )
Hukuman Zina, firman Allah yang bermaksud :
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari mereka seratus kali sebatan .
( al-Quran, an-Nur : 2 )
Hadis Nabi mengenai zina, mafhumnya :
Ambillah dari aku ! Sesungguhnya Allah memberi jalan kepada mereka ( perempuan yang berzina ), jikalau teruna dengan dara hendaklah disebat seratus kali sebatan, dan dibuang negeri setahun, dan jika yang telah berkahwin dengan yang telah berkahwin hendaklah disebat dengan seratus kali sebatan dan direjam dengan batu sampai mati .
( Muslim, Sahih : hlm. 188 )
Zina diharamkan dan hukuman hadnya ialah buang negeri ( taghrib ) dan disebat seratus kali bagi yang belum kahwin, dan disebat seratus kali dan direjam sampai mati bagi yang sudah berkahwin ( muhsan ), ada yang berpendapat hanya rejam sahaja bagi yang telah berkahwin.
Pengharaman Tuduhan Zina ( Qazaf ) tanpa empat orang saksi dan hukuman Had mengenainya, Firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 4 yang bermaksud :
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik melakukan zina, dan mereka tidak membawa empat orang saksi, maka deralah mereka ( yang menuduh itu )lapan puluh sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya, dan mereka adalah orang-orang yang fasiq
Iaitu tuduhan zina ( Qazaf ) tanpa membawa empat orang saksi adalah haram, dan hukuman had ke atas orang yang menuduh itu ialah lapan puluh kali sebatan beserta hukuman tambahan iaitu tidak diterima kesaksian orang itu selama-lamanya.
Pengharaman minum arak, Firman Allah yang bermaksud :
Hai orang-orang yang beriman ! sesungguhnya meminum khamar ( arak ), berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan Syaitan. Kerana itu jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan ( kejayaan ) .
( al-Quran, al-Maidah : 90 )
Hukuman hudud meminum arak ialah disebat, tetapi jumlahnya terdapat dua riwayat ; dalam satu hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah telah memukul ( sebat )seorang lelaki yang meminum arak dengan dua pelepah tamar sebanyak empat puluh kali dan begitu juga dilakukan oleh Abu Bakar, tetapi pada masa Saidina Umar, beliau berbincang dengan sahabat-sahabat dan berkata seorang sahabat, Abdul Rahman seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebatan ( Muslim, Sahih : hlm. 214 ) dan Umar menurutnya.
Hukuman Hudud Jenayah Mencuri, Firman Allah yang bermaksud ;
Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya ( sebagai ) pembalasan bagi apa yang telah mereka lakukan dan sebagai seksaan dari Allah .
( al-Quran, al-Maidah : 38 )
Hukuman hudud bagi kesalahan mencuri ialah potong tangan dengan cara yang tertentu yang akan dibincangkan kemudian.
Hukuman Perusuh dan Pengacau Keamanan ( hirabah ), Firman Allah yang bermaksud :
Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang negeri. Yang demikian itu sebagai satu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka akan beroleh seksaan yang besar .
( al-Quran, al-Maidah : 33 )
Pengharaman Murtad, Firman Allah yang bermaksud :
Barangsiapa mencari agama selain dari agama Islam, maka tidaklah akan diterima ( agama itu ) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk di antara orang-orang yang rugi .
( al-Quran, al-Imran : 35 )
Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati di dalam kekafiran, maka amal mereka menjadi sia-sia di dunia dan akhirat .
( al-Quran, al-Baqarah : 217 )
Hukuman Murtad ialah bunuh, Hadis Nabi yang mafhumnya ;
Tidak halal darah seorang Muslim yang telah bersaksi bahawa tiada Tuhan Yang diSembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan mengakui Aku ( Muhammad ) sebagai Rasulullah, melainkan terhadap salah satu dari tiga ( orang ) iaitu penzina yang telah berkahwin ( muhsan ), membunuh orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya ( murtad ).
( Muslim, Sahih : hlm. 164 )
Jenayah Baghy, pengharamannya dan hukumannya, Firman Allah yang bermaksud :
Dan jika dua golongan dari orang Mukmin yang berperang maka damaikanlah anara keduanya, jika salah satu dari dua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang membuat aniaya itu sampai golongan itu kembali kepada perintah Allah .
( al-Quran, al-Hujurat : 9 )
Inilah sumber perundangan yang utama ( dari al-Quran dan al-Sunnah ) mengenai jenayah. Syariat menentukan secara tepat mengenai seksaan atau hukuman bagi tiap-tiap jenayah Hudud, di mana tidak ada hak mana-mana pihak persendirian seperti Qadi atau mangsa atau pihak awam seperti kerajaan atau lain-lain, untuk memilih atau meminda di dalam hukumannya. Jenayah Hudud bila disabitkan tidak ada pengampunan sama ada oleh pemerintah atau oleh mangsa atau oleh pihaknya ( seperti walinya ). Ianya mestilah dilaksanakan bila disabitkan, yang mana hukumannya adalah tertentu dari segi jenis dan kadar hukuman atau seksaan itu. Itulah sebab maka jenayah Hudud itu disebut Had dan hak Allah.
cuba korang fikir kesan perlaksanaan hukum hudud ni. Sudah tentu kadar jenayah di Malaysia ini dapat dikurangkan. Orang yg tak mahu laksanakan hukum Allah ini je yg takut kalau-kalau kesalahan yg dilakukannya akan terjadi pada dirinya, lalu mengatakan hukum hudud ni tak sesuai. Hukum hudud ni dikenakan terhadap orang Islam sahaja. Kalau orang bukan Islam melakukan kesalahan, maka tidak dikenakan hukuman hudud ni. Hukumannya macam seperti sekarang ni la.. Denda RMxx, penjara 3tahun, sebat yg menyalahi hukum Islam sepertimana yg dikenakan keatas banduan di penjara(perogol). Cara menyebatnya tu yg menyalahi dalam Islam…